Nelayan pinjam Tekun beli bot

image (13)MUAR – Awak-awak atau nelayan yang masih belum memiliki bot sendiri disaran membuat pinjaman melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) untuk membeli kemudahan menangkap ikan terutama bot.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, tawaran daripada tabung itu dapat membantu mengurangkan beban mereka membayar sewa bot lebih RM1,000 sebulan.

“Beli bot dan kelengkapan lain menggunakan pinjaman Tekun tidak membebankan mereka kerana ansuran bulanan lebih rendah berbanding bayaran sewa.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi dengan berdikari menangkap ikan menggunakan bot sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan cek Tekun RM179,000 kepada 16 peminjam di Bangunan Umno Cawangan Parit Bakar, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Tekun Muar, Datuk Ismail Tunggak; Timbalan Ketua Umno Bahagian Muar, Muhammad Yazed Muhain; Ketua Wanita Umno Bahagian Muar, Ramlah Ismail dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Zainal Abd Jalil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, lapan daripada 48 nelayan yang membuat permohonan peruntukan Tekun berjumlah RM480,000 menerima pinjaman semalam.

Razali berkata, mereka adalah nelayan yang kehilangan enjin bot sangkut dan perahu jenis fiber setelah dipercayai dicuri nelayan warga Indonesia di Pangkalan Nelayan Parit Kedongdong, 13 September lalu.

Dalam pada itu, katanya, RM12.3 juta bantuan modal berbentuk pinjaman diberi kepada 1,469 peniaga di daerah ini sejak 2000 hingga akhir bulan lalu.

“Pinjaman mikro kredit ini melibatkan pelbagai bidang perniagaan berskala kecil dan sederhana antaranya kedai runcit, kedai makan dan kedai cuci kereta selain terlibat dengan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.

“Kita menggalakkan orang ramai yang berminat menceburi perniagaan supaya membuat permohonan Tekun untuk membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Katanya, mereka boleh datang ke Pejabat Tekun daerah untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui prosedur permohonan pinjaman.

Advertisements