Kehilangan Farouk cukup dirasai

image (12)BATU PAHAT –  Kehilangan Koperal Farouk Bahar, 29, anggota tentera yang terkorban dalam kemalangan ketika rondaan di Lahad Datu memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga mangsa.

Ayahnya, Bahar Mustafar, 63 berkata, mereka semua akan sentiasa mengingati senyuman Farouk, selain pandai melayan anak buahnya sehinggakan kepulangannya sering ditunggu.

Katanya, dia tidak menyangka yang anaknya itu akan pergi dahulu kerana tidak ada perubahan ketara ketika kali terakhir mereka bertemu pada minggu lalu, cuma kepulangannya pada kali ini Farouk menghantar motosikal untuknya.

“Farouk memang kerap balik… hampir setiap bulan dia akan balik, sebab itulah kehilangannya cukup kami rasai terutama ibunya, Habibah Rantau kerana arwah adalah anak kesayangannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Utama, Yong Peng, semalam.

Menurut Bahar, anaknya sebelum ditugaskan untuk ke Sabah, anaknya itu bertugas di Kem Terendak, Melaka dan menyertai pasukan keselamatan berkenaan pada tahun 2004.

Katanya, lebih memilukan anaknya itu merancang untuk melangsungkan perkahwinannya setelah tamat tugasan di Sabah dengan gadis pilihannya yang berasal dari Kedah.

“Walaupun sedih dengan kehilangan arwah yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik ini, tetapi kami semua menerima ketentuan Ilahi dengan penuh kesabaran, selain menganggap ada hikmah di sebalik pemergian arwah,” katanya.

Dalam pada itu jenazah Farouk, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Riba, Yong Peng sebelum Maghrib.

Dalam kejadian 10.30 pagi kelmarin, trak dinaiki Farouk bersama 22 anggota rejimen itu terbabit dalam kemalangan di KM4, Jalan Tengah Nipah-Lahad Datu.

Sementara itu, Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Brigedier Jeneral Subari Tomo berkata,  tujuh anggota dirawat di Hospital Lahad Datu dan seorang di Hospital Tawau. Manakala 14 anggota lain hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. – Sinar Harian

Advertisements