Harga kekal selepas GST

JOHOR BAHRU – Unilever Food Solutions Malaysia (UFSM) tidak merancang untuk menaikkan harga barangannya, meskipun berdepan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan.

Pengurus Jualan Nasionalnya, Eric Chong berkata, harga barangannya dijangka akan terus dikekalkan dan berkemungkinan mengalami penurunan sedikit dari harga asal dalam usaha mengurangkan beban pelanggan.

Bagaimanapun menurutnya, kajian terperinci akan dilakukan terlebih dahulu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan seawalnya pada Februari akan datang.

“Kami sedang mengkaji pelaksanaan GST terhadap produk keluaran dan berkemungkinan harga barangan akan kekal sama atau berkurangan dalam usaha membantu meringankan beban pengguna.

“Sehubungan itu, pengumuman mengenai sebarang perubahan dan penetapan kepada harga barangan terbabit akan dimaklumkan kepada orang ramai seawalnya pada akhir Februari atau awal Mac depan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program ‘Chefmanship Academy’, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Yahya Jaafar.

Chong berkata, antara produk makanan di bawah UFSM adalah Knorr, Lady’s Choice, Planta, Lipton dan Wall’s, selain bukan produk makanan termasuk Dove, Lux, Ponds, Rexona, Sunsilk dan Breeze.

Dalam pada itu Chong berkata, program Chefmanship Academy telah diadakan di merata tempat hasil kerjasama yang dijalinkan bersama Majlis Perbandaran seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kualiti dalam penyediaan makanan.

Menurutnya, objektif utamanya juga diadakan untuk mengurangkan kos pengendalian makanan, mengoptimumkan keuntungan dan menyampaikan idea kretif untuk menghidangkan makanan yang segar dan bermutu kepada pelanggan.
“Kami berharap dapat mencapai kira-kira 250,000 penjaja seluruh negara yang ‘tip top’ dalam pengendalian makanan,”katanya. – Sinar Harian

Advertisements