Sumbangan atlet OKU Johor dihargai

image (3)Bakal dinaikkan insentif kerana harumkan nama negara

JOHOR BAHRU 20 Dis. – Jabatan Belia dan Sukan negeri berhasrat untuk mempertingkatkan pemberian insentif kepada atlet orang kurang upaya (OKU) yang berjaya meraih pingat di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pengarahnya, Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, penambahan insentif tersebut perlu dalam memberi galakan kepada atlet OKU untuk terus melakar kejayaan dalam sukan yang diceburi.

“Jumlah insentif yang diberikan kepada atlet OKU adalah rendah iaitu RM500 bagi pingat emas, RM350 (perak) dan RM200 (gangsa) dan perlu dinaikkan bagi menghargai jasa mereka kerana mengharumkan nama negeri.

“Kita sudah kemukakan permohonan dan berharap kerajaan ne­geri akan mempertimbangkan cadangan supaya insentif berkenaan dinaikkan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi setiap pingat emas sebagai galakan kepada atlet untuk melakar kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Johor OKU Fiesta 2014 (Jokuf) di sini baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Abd. Aziz berkata, atlet yang berjaya meraih pingat di dua temasya sukan sebelum ini membabitkan Sukan Para Asia, Incheon, Korea Selatan dan Sukan Paralimpiad di Perlis masih belum menerima insentif di peringkat negeri.

“Pada Sukan Para Asia, atlet Johor berjaya menyumbang 11 kutipan pingat buat Malaysia iaitu sebanyak tiga emas, empat perak dan empat gangsa dan pingat emas diperolehi melalui acara lompat jauh wanita, lari 800 meter wanita dan lelaki.

“Bagi Sukan Paralimpiad pula, seramai 56 atlet berjaya menyumbangkan pingat buat kontinjen Johor dengan mendominasi acara olahraga apabila berjaya membolot 28 daripada 29 emas yang dipertandingkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jokuf yang masuk edisi kedua penganjurannya akan dijadikan acara tahunan dengan lebih banyak acara dipertandingkan bagi mencari bakat muda untuk diketengahkan.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/sumbangan-atlet-oku-johor-dihargai-1.38897#sthash.vSUkIpVM.dpuf

Advertisements