Pekebun kecil perlu berdaftar

image (2)

LEDANG 19 Dis. – k ira-kira 200,000 daripada 320,000 pekebun kecil getah seluruh negara masih belum memiliki Kad Pendaftar Jualan Pekebun Kecil Getah yang akan melayakkan mereka mendapat bantuan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Hamzah berkata, pihaknya menyasarkan kesemua pekebun kecil getah akan berdaftar sehingga Januari ini bagi membolehkan mereka menerima bantuan itu dalam keadaan harga getah yang kekal rendah ketika ini.

“Kad pintar ini menjadi dokumen penting dikeluarkan LGM khusus untuk pekebun kecil, tuan tanah dan penoreh sah yang membolehkannya menjual getah kepada peraih. Tujuannya bagi memastikan penoreh menjual getah miliknya sendiri dan bukan getah curi.

“Pada masa yang sama bagi mengelakkan berlakunya ketirisan. Penjualan getah daripada pemilik kad akan diberikan resit rasmi dikeluarkan LGM,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat IPG di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Ledang merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Inovasi LGM, Dr. Akbar Md. Said.

Ahmad berkata, resit bersiri serta mempunyai kod bar tersebut dibekalkan LGM kepada peraih berdaftar untuk diberikan kepada penoreh getah yang memiliki kad jualan.

“Skim ini diaktifkan apabila harga getah SMR20 jatuh sampai tahap RM4.60 sekilogram. Pekebun kecil perlu menyerahkan kesemua resit jualan untuk bulan sebelum ini kepada LGM bagi tujuan tuntutan insentif,” katanya.

Menurutnya, bayaran tersebut tidak dibuat secara tunai, sebaliknya dikreditkan ke akaun masing-masing bagi memastikan insentif tersebut diterima pekebun kecil getah.

Katanya, LGM sedang mempergiat usaha menarik pekebun kecil yang masih tidak memiliki kad itu menerusi taklimat dalam penjelajahan ke setiap daerah di seluruh negara dan setakat ini sudah dilakukan di Perak, Pahang, Kedah, Sabah, Sarawak dan Johor.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pekebun-kecil-perlu-berdaftar-1.38739#sthash.jijyzumg.dpuf

Advertisements