10,300 Serbuan Kegiatan Pelacuran

JOHOR BAHRU – Polis melakukan  sejak Januari hingga kini dalam usahanya menangani kegiatan pelacuran di negeri ini, kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu, seramai 2,986 wanita tempatan dan asing ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan itu.

“Sebanyak 102 daripada mereka adalah rakyat tempatan manakala 627 rakyat China, Vietnam (1,341), Thailand (555), Indonesia (229), Kemboja (13), Filipina (62), Myanmar (16), Singapura (1), Laos (4), Sri Lanka (6), India (29) serta Venezuela (1),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Johor 2014 di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menahan 55 wanita rakyat Vietnam dan China berumur antara 19 dan 50 tahun dalam serbuan di dua premis di Stulang Laut, di sini, malam tadi.

Serbuan mulai 8.45 malam hingga 1 pagi itu dilakukan enam pegawai dan 21 anggota selepas polis menerima aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan tidak bermoral itu di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, seorang wanita itu patah kaki selepas terjun dari tingkat empat dalam usaha melarikan diri manakala seorang bertindak menggigit tangan seorang anggota polis bagi mengelak ditahan,” katanya.

Menurutnya sebahagian daripada wanita yang ditahan itu memiliki dokumen perjalanan sah.

Mohd Mokhtar berkata, polis akan meningkatkan operasi dari semasa ke semasa termasuk menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan itu. – Bernama

Advertisements