Staf kontrak dilindungi Perkeso

JOHOR BAHRU – Johor menjadi negeri pertama memberi kerjasama dalam pelaksanaan meluaskan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kakitangan berstatus kontrak termasuk sementara di sektor awam dan badan berkanun.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, jabatan yang masih gagal mendaftarkan kakitangan terbabit diingatkan untuk membuat caruman supaya berurusan terus dengan Perkeso.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi memberi perlindungan kepada semua kakitangan termasuk berstatus kontrak dan sementara sebagai persediaan sekiranya menghadapi sebarang kemungkinan seperti kemalangan.

“Berdasarkan maklumat diterima, Kerajaan Johor adalah kerajaan negeri yang tertinggi telah berdaftar di seluruh negara membabitkan seramai 7,000 kakitangan daripada 92 agensi menggambarkan kepekaan kita terhadap kebajikan kakitangan.

“Sekiranya masih ada kakitangan yang masih belum dicarum, jabatan yang terlibat dinasihatkan untuk berurusan dengan Pegawai Perkeso sekiranya terdapat sebarang keraguan berkaitan perluasan liputan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Perluasan Liputan Skim Perkeso ke atas kakitangan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan Johor Bertaraf Sementara Dan Kontrak, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, bagi memelihara kesejahteraan pencarum yang kehilangan upaya akibat kemalangan dan keilatan, mulai 1 Oktober tahun ini, Perkeso telah menubuhkan Pusat
Rehabilitasi Perkeso di Ayer Keroh, Melaka.

“Ia tempat pemulihan yang komprehensif, kondusif dan objektif ke atas orang hilang upaya menjalani latihan pemulihan supaya golongan ini tidak dipinggirkan dan kembali semula bekerja.

“Pelbagai inisiatif memperluaskan jaringan keselamatan sosial turut dipertingkatkan demi menjamin skim perlindungan kepada pekerja,” katanya

Advertisements