ASB agih 8.5 sen seunit pendapatan, bonus

imageKUALA LUMPUR 18 Dis. – Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 7.5 sen seunit beserta bonus satu sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumipurera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.16 bilion, peningkatan 10.8 peratus berbanding RM9.17 bilion pada tahun lalu.

“Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM804.43 juta, meningkat 19 peratus berbanding RM675.93 juta yang dibayar pada tahun 2013,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan Skim Amanah Saham Bumiputera bagi tahun 2014 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, pembayaran agihan itu akan memberi manfaat kepada 8.6 juta pemegang unit yang melanggan 137.07 bilion unit ASB.

Tambahnya, semua urus niaga bagi ASB di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 23 Disember ini hingga 1 Januari 2015 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan dan bonus.

“Pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing mulai 2 Januari 2015,” katanya.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, agihan yang lebih rendah pada kali ini adalah memuaskan berdasarkan pasaran serta keadaan ekonomi semasa.
“Ini adalah kali pertama peruntukan bagi agihan pendapatan melebihi RM10 bilion, jumlahnya meningkat 10.8 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Sehingga 16 Disember 2014, jumlah pendapatan kasar ASB adalah sebanyak RM10.55 bilion.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/asb-agih-8-5-sen-seunit-pendapatan-bonus-1.38336#sthash.IGHP7q0b.dpuf

Advertisements