Selesai segera masalah perparitan

image (6)BATU PAHAT – Penduduk di Bandar Putera Indah, di sini, terutama berhampiran Jalan Tongkang Pechah berharap, masalah parit dan saliran di kawasan berkenaan diatasi segera.

Penduduk, Norafandi Katiman, 35, berkata, masalah berkenaan mula timbul lima tahun lalu dan semakin teruk dari hari ke hari.

Katanya, keadaan membimbangkan apabila pembangunan di kawasan berkenaan makin pesat termasuk pembinaan perumahan baharu di kawasan berhampiran.

“Saya perhatikan dalam lima tahun kebelakangan ini longkang dan parit yang ada tidak diselenggarakan dengan sempurna, sehingga mengakibatkan air bertakung dan ada kala berlaku banjir kilat.

“Ada sebahagian longkang di sini sudah mulai pecah, dan parit yang ada mula dipenuhi rumput yang mengakibatkan air tidak dapat mengalir sempurna.

“Satu lagi masalah, berhampiran rumah saya, tidak dibina parit atau longkang dan apabila hujan, air akan bertakung beberapa hari,” katanya.

Penduduk, Kamri Wagimon, 64, berkata, disebabkan tiada saliran sempurna, dia bimbang takungan air yang terdapat berhampiran kediamannya memberikan kemudaratan.

Katanya, banjir kilat merupakan perkara biasa di sini, tetapi perkara paling dibimbangi ialah takungan air yang berlarutan beberapa hari hingga dikhuatiri menjadi tempat pembiakan Aedes.

“Saya harap pihak berkaitan dapat melihat sendiri kawasan ini, serta merangka parit atau longkang yang sesuai dibina di sini agar masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Komuniti, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sri Gading, Wahyu Hidayat Jaafar berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di tempat dilaporkan.

Katanya, dia akan memaklumkan masalah ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi untuk tindakan selanjutnya. – Sinar harian

Advertisements