Modal perniagaan RM257,000 lesap

SEGAMAT – Seorang wanita di Jalan Genuang, di sini berputih mata apabila wang RM257,000 yang diletakkan di rumahnya untuk dijadikan modal perniagaan lesap selepas dia pulang dari Johor Bahru, kelmarin.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Moi, 30-an berkata, dia mengeluarkan wang tersebut daripada sebuah bank beberapa hari lalu sebelum menyimpannya dalam sebuah kotak di dapur rumahnya.

“Saya dan suami kemudian ke Johor Bahru beberapa hari untuk menyelesaikan urusan perniagaan dan apabila pulang ke rumah kelmarin, saya melihat ruang tamu rumah berselerak.

“Saya kemudian memeriksa tempat simpanan wang tersebut dan mendapati kotak wang berkenaan sudah tiada. Rantai leher dan barangan kemas lain yang disimpan di dalam almari rumah juga turut dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia mengesyaki suspek masuk melalui bumbung di bahagian dapur untuk masuk ke rumahnya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan meminta orang ramai tidak menyimpan wang tunai yang banyak dalam rumah. – Sinar Harian

Advertisements