Tauke seleweng elaun pelatih

JOHOR BAHRU – Gara-gara ingin mendapatkan elaun RM300 disediakan kepada pelatih di bawah Program Perantis anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, seorang pengusaha kedai bakeri sanggup menyeleweng dengan mendaftar nama isterinya sebagai pelatih program berkenaan.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Abd Aziz Abdul Rahman berkata, bagaimanapun perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki berkenaan terbongkar awal tahun ini.

Menurutnya, perbuatan buruknya gagal apabila wakil jabatan berkenaan berjaya mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelatih dan mendapati mereka mempunyai hubungan suami isteri.

“Tiada sebarang bayaran elaun dilakukan kepada pelatih yang juga isteri lelaki berkenaan kerana perkara itu terbongkar lebih awal.

“Kami akan memastikan semula pelatih yang didaftar selepas ini tiada hubungan kekeluargaan dengan majikan bagi mengelakkan masalah tidak diingini berulang,” katanya pada Majlis Graduasi Program Perantis dan 3K Belia Bestari Negeri Johor 2014, semalam.

Abd Aziz berkata, kementerian menawarkan elaun RM300 selama enam bulan kepada pelatih terpilih.

Tambahnya, ada juga segelintir majikan sanggup membayar elaun kerana berpuas hati dengan prestasi kerja pelatih, selain menawarkan pekerjaan tetap di premis masing-masing.

Menurutnya, seramai 75 peserta yang berusia antara 18 hingga 15 tahun berjaya menerima sijil daripada Kementerian Belia dan Sukan, manakala 17 majikan turut menerima sijil penghargaan.

“Peluang seharusnya diberikan kepada individu yang sesuai supaya mereka dapat mengubah nasib keluarga dan menaik taraf kehidupan masing-masing.

“Program Perantis dan 3K Belia Bestari menjadi suatu pendekatan latihan kemahiran yang memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan pelbagai latihan kemahiran,” katanya.

Advertisements