Polis cari lelaki Vietnam bantu kes bunuh

JOHOR BAHRU – Polis memohon bantuan orang ramai untuk menyampaikan sebarang maklumat mengenai suspek seorang lelaki Vietnam bagi membantu siasatan satu kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, lelaki warga asing terbabit bernama Bui Van Tuan berusia 32 tahun.

“Polis mendapat maklumat tentang kejadian kematian seorang wanita warga Vietnam berusia 33 tahun di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Berjaya, Kempas, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi pada 7 Disember lalu.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah dibunuh. Polis mohon bantuan orang ramai untuk menyampaikan sebarang maklumat tentang suspek untuk membantu dalam siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Khamsani berkata, semua maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Victor Genason atau pegawai penyiasat Inspektor Khairuldin Anwar di talian 07-553122 atau 016-7552626 atau 0111-7762881. – Sinar Harian

Advertisements