Festival Kraf Johor sasar jualan RM6.5 juta

JOHOR BAHRU – Festival Kraf Johor, yang bakal berlangsung Khamis ini hingga 31 Dis, dijangka meraih sasaran jualan sebanyak RM6.5 juta berdasarkan penglibatan lebih ramai usahawan kraf kali ini.
Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Rugayah Mohd Salleh, berkata festival tahunan yang sebelum ini dikenali Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Johor itu dianjurkan bagi tahun keempat.
“Kami menjangkakan jualan tahun ini meningkat berdasarkan penglibatan seramai 362 usahawan kraf iaitu lebih ramai berbanding tahun lepas sebanyak 284 usahawan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kraf, Jalan Cenderasari, di sini hari ini.
Pada tahun lepas, festival itu berjaya meraih jualan bernilai RM5.9 juta.
Penyumbang utama jualan tahun lepas adalah hasil rimba iaitu kraf dan anyaman berasaskan kayu yang menjadi asas seni taman serta halaman.
Mengulas lanjut, Rugayah berkata selain memberi kesedaran serta berkongsi maklumat terkini industri kraf negara, festival itu juga menjadi platform promosi dan pemasaran produk kraf secara terus kepada pengguna.
Antara yang menarik tahun ini adalah demonstrasi Kembang Api iaitu produk kraf berteraskan penggunaan api dalam pembuatannya seperti parang.
Festival yang akan dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Khamis ini, diadakan di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Maklumat lanjut festival kraf ini boleh diperolehi menerusi laman web http://www.festival.kraftangan.gov.my. – Bernama
Advertisements