7 sekeluarga bersesak dalam kontena

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal bersama enam anaknya terpaksa menumpang teduh di dalam kontena di Taman Perindustrian Berjaya Seelong, di sini kerana mengalami kesempitan hidup selepas kematian suami sejak setahun lalu.

Suryati Semaohoon, 44, berkata, meskipun pada mulanya anak-anak memberontak kerana terlalu sesak dalam kontena berkenaan, namun masing-masing mulai faham dengan keadaan sebenar keluarga mereka.

Menurutnya, kehilangan suami yang menghidap kanser paru-paru Disember tahun lalu benar-benar dirasai sehingga rumah yang disewa sebanyak RM400 sebulan di Kempas tidak mampu lagi ditanggung.

“Saya merayu kepada bekas majikan suami untuk menumpang teduh di kontena kerana tidak mampu lagi membayar rumah sewa dalam keadaan lima anak yang masih bersekolah.

“Pada mulanya memang kurang selesa kerana apabila cuaca panas terik memang bahangnya terlalu panas dalam keadaan dinding kontena dikelilingi zink.

image (4)“Tapi saya bersyukur kerana tak perlu bayar sewa dan menampung kos api dan air dalam keadaan kesukaran mendapatkan rumah sewa di bawah RM300 sebulan,” katanya ketika dibawa berbelanja kelengkapan sekolah di Pasaraya Econsave, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud dan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Suryati berkata, tiada ungkapan yang mampu dilafazkan selain ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menggembirakan tiga anaknya yang bakal menyambung persekolahan Januari tahun depan.

Menurutnya, kelengkapan sekolah anak-anak pada tahun ini tidak dapat disediakan memandangkan hanya mengharapkan bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM300 dan hasil menjahit baju serta jualan kerepek.

“Duit yang diperoleh terpaksa digunakan secara berjimat-cermat, malah perut anak-anak hanya terisi dengan nasi, sayur dan telur,” katanya.

Sementara itu,  Mas Imran berkata, pihaknya menyumbangkan baucar bernilai RM1,000 untuk belanja barangan kelengkapan sekolah tiga anak Suryati beserta barangan keperluan harian.

“Kita sekadar membantu meringankan beban yang ditanggung ibu tunggal berkenaan.

“Kita juga menawarkan pekerjaan berserta asrama kepada anak Suryati yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mencari duit poket,” katanya. – Sinar Harian

Advertisements