Berbasikal sampaikan maklumat GST, isu semasa

berbasikalLABIS – Bagi memberi kefahaman menyeluruh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu semasa secara santai, seramai 50 warga Kementerian Kewangan berbasikal sejauh 6.5 kilometer di sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Labis , Datuk Chua Tee Yong berkata, ini juga memberi gambaran kehidupan masyarakat luar bandar kepada warga kementerian, agar mereka dapat menilai keperluan penduduk luar bandar dengan lebih jelas.

“Masyarakat berdepan kekeliruan berhubung beberapa isu seperti GST dan harga minyak yang sengaja dimanipulasikan pihak tertentu. Program sebegini dapat memberi penjelasan tepat kepada rakyat dengan lebih mudah.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pegawai menilai dan mengenal pasti keperluan penduduk luar bandar, sebaliknya kesempatan terbaik penduduk menyalurkan sebarang mesej dan maklumat secara terus kepada pihak kementerian,” katanya.

Tee Yong berkata demikian ketika merasmikan Program Kayuhan Khidmat Masyarakat Kementerian Kewangan dari Kolam Air Panas, Pekan Ayer Panas ke Kampung Orang Asli Juaseh, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Pada program berkenaan, seramai 68 ketua isi rumah menerima sumbangan barangan keperluan harian, pengagihan dua komputer masing-masing kepada JKKK Kampung dan Tadika Orang Asli Ulu Juaseh dan wang RM7,000 untuk tujuh perkampungan Orang Asli di Parlimen Labis.

sumber : Sinar Harian

Advertisements